KULIM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara masih menunggu surat rasmi Lembaga Pengampunan berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya perlu menerima dan meneliti surat berkenaan terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Di KDN, di mana Jabatan Penjara di bawahnya, pertama kita akan menunggu surat rasmi memaklumkan kepada kita tentang keputusan oleh Lembaga Pengampunan semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni keluarga mangsa empat kanak-kanak lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kandungan surat berkenaan juga perlu diteliti bagi mendapatkan kepastian mengenai butiran keputusan termasuk lokasi tahanan rumah sama ada ditetapkan atau diserahkan kepada Jabatan Penjara.
“Saya nak tengok dulu surat itu. Sekarang ini tempoh Datuk Seri Najib menjalani hukuman penjara. Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain dan tentu ada proses-prosesnya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KDN perlu mendapatkan kepastian berhubung keputusan tersebut sebelum sebarang tindakan diambil bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan.
Sebelum ini, keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Saifuddin berkata, sekiranya denda RM50 juta itu dibayar, tarikh pembebasan Najib ialah pada 23 Ogos 2028, manakala jika tidak dibayar, beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan mekanisme tahanan rumah dan KDN telah mendapat persetujuan dasar Kabinet memulakan proses membentangkan Rang Undang-Undang Tahanan Rumah di Parlimen.
Menurutnya, cadangan berkenaan pada asalnya bertujuan membantu menangani masalah kesesakan penjara terutamanya membabitkan tahanan reman.
“Sekarang ini kita ada 41 penjara, tetapi penghuni penjara kira-kira 93,000 orang, sedangkan kapasiti penjara kita hanya 75,000 orang
“Jika rang undang-undang itu diluluskan, kita boleh keluarkan tahanan reman ini di rumah dan kita pakaikan segala peranti moden untuk mengawasi pergerakan mereka sehingga tarikh perbicaraan,” katanya.