LUMUT - Tim Nukleus Angkatan Siber dilancarkan hari ini sebagai usaha ke arah mewujudkan cabang keempat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mendepani ancaman peperangan era digital, sekali gus memperkukuh pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tim berkenaan yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030 akan meneliti dengan lebih mendalam keseluruhan aspek penubuhan Angkatan Siber sebagai cabang keempat ATM.
"Ia ke arah mewujudkan langkah awal angkatan tersebut bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dalam menghadapi ancaman era digital khususnya dalam domain siber dan eloktromagnetik.
"Ini termasuklah merangka struktur organisasi, menggubal doktrin operasi baharu, menyelaraskan perjawatan dan menyepadukan empat teras utama CEMA, C4, INTEL dan SPACE, kesemua ini adalah langkah sulung yang kritikal, ia akan menentukan perjalanan panjang pasukan ATM kita pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan pelancaran Tim Nukleus Angkatan Siber bersempena Hari ATM ke-93 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Sabtu.
Sementara itu, pada sidang media, Mohamed Khaled berkata, pewujudan Angkatan Siber adalah bagi mendepani ancaman keselamatan yang tidak lagi datang secara tradisional tetapi lebih kepada kemajuan teknologi.
Beliau berkata, pasukan pertahanan kini amat bergantung kepada penggunaan teknologi atau network centric operation.
"Kita perlu ada satu angkatan (siber), maknanya yang ini (ancaman) ada di sempadan, ia boleh masuk terus ke dalam negara, jadi kita kena bersedia dan atas sebab tersebut kita wujudkan angkatan ini,” katanya.
Beliau berkata, Tim Nukleus Angkatan Siber akan menggabungkan unit siber daripada tiga cabang ATM iaitu TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM), di samping melantik perjawatan baharu yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu dalam majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Brigadier General Datuk Abd Razak Sipityang juga Ketua Pengarah Perisikan Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia sebagai ketua Tim Nukleus Angkatan Siber.
Pada majlis sama beliau turut menyempurnakan cek cura berjumlah RM442,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pegajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah bersempena Program Jiwa Murni MADANI KEMENTAH 2026. - Bernama