Pokok tumbang berusia 30 tahun

Iklan
Zainal Abidin melihat pokok besar berusia lebih 30 tahun yang tumbang dalam satu kejadian pada Khamis. Zainal Abidin

KUANTAN - Penduduk di taman perumahan Kampung Balok Baru mendakwa pokok besar yang tumbang dan menghempap seorang remaja perempuan hingga maut di kawasan taman permainan di situ dianggarkan berusia lebih 30 tahun.

Penduduk, Zainal Abidin Sulaiman, 57, berkata, pokok berketinggian kira-kira 30 meter itu sebelum ini didakwa sudah dijangka akan mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

Iklan
Iklan

"Apa yang saya tahu, dalam tempoh 10 tahun (sebelum ini) penduduk di sekitar ini sudah beberapa kali membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menebang pokok berkenaan.

"Tapi pihak berwajib hanya melakukan kerja-kerja mencantas dahan dan seingat saya kali terakhir ia dibuat sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Zainal Abidin menunjukkan lokasi remaja 14 tahun dikatakan dihempap pokok pada petang Khamis.

Iklan

Ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati pokok tumbang bersaiz dua pemeluk orang dewasa itu sudah dipotong namun belum dialihkan dari lokasi kejadian.

Beberapa kenderaan rosak masih berada di lokasi manakala kerja-kerja menebang pokok besar yang ada disekitar kawasan taman permainan itu juga sedang dilakukan.

Iklan

Bercerita lanjut mengenai kejadian pokok tumbang itu, Zainal Abidin mendakwa mendengar bunyi kuat seperti benda terhempas di luar rumah pada kira-kira jam 6 petang Khamis.

Jelasnya, peralatan vakum yang dipegangnya dicampakkan sebaik mendengar bunyi kuat itu dan melulu keluar rumah untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.

"Beberapa penduduk alihkan kenderaan mereka ke tempat selamat dan lihat ada budak yang dihempap pokok besar itu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seorang remaja perempuan, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, maut selepas dihempap pokok setinggi kira-kira 30 meter itu.

Kejadian yang sama turut mengakibatkan seorang kanak-kanak, Iftikhar Medina, 6, mengalami patah tangan kanan dipercayai terkena kabel elektrik yang jatuh selepas dihempap pokok tumbang berkenaan.