Skuad boling lelaki negara cemerlang di Hong Kong

Iklan
Skuad boling negara akhiri penantian 15 tahun apabila memenangi acara All Event di ATBC.

SKUAD boling negara terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan, selain menyapu bersih acara All Event lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) pada Isnin.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong itu, skuad kebangsaan pada mulanya hanya mampu menduduki tempat ketiga bagi blok pertama dalam acara lima berpasukan dengan melakukan 3,607 jatuhan pin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pasukan terdiri daripada Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol bangkit merampas tempat pertama pada blok kedua setelah melakukan 7,323 jatuhan pin untuk meraih emas.

Dalam pada itu, Muhammad Rafiq turut mencipta sensasi selepas meraih emas acara All Event lelaki dengan membuat jatuhan pin tertinggi 6,128, diikuti rakan sepasukan Timmy yang memenangi perak dengan 6,073 jatuhan pin.

Iklan

Gangsa milik Tun Hakim yang mengumpul 5,954 jatuhan pin, manakala skuad negara turut mengisi kedudukan keempat dan kelima masing-masing menerusi Ahmad Muaz (5,938) dan Syafiq Ridhwan (5,850).

Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan pertama dalam pungutan pingat keseluruhan dengan memperoleh tiga emas, lima perak dan tiga gangsa. - Bernama

Iklan