Lantikan politik: PKR Perak utamakan wanita, pemuda

Iklan
Mohamad Hairul Amir

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak akan mengutamakan golongan wanita dan pemuda bagi mengisi jawatan lantikan politik melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung.

Timbalan Pengerusinya, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, Pakatan Harapan diberikan 65 peratus kuota untuk diisi ketiga-tiga komponen parti bagi semua jawatan lantikan politik di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, baki kuota sebanyak 35 peratus lagi akan diisi oleh parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN) yang merupakan gabungan di dalam kerajaan negeri.

"Setiap nama perlu melalui tapisan dan temu bual bagi memastikan mereka yang dipilih benar-benar layak. Kebanyakan mereka ini adalah yang banyak berjasa kepada parti selain mempunyai latar belakang berkelayakan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, seperti yang menjadi amalan sebelum ini, golongan wanita dan muda akan diberikan keutamaan untuk dilantik mengisi kekosongan berkenaan.

Mohamad Hairul Amir berkata, kesemua lantikan tersebut dijangka akan diselesaikan pada Mac depan.

Iklan

Sebelum ini, Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam satu kenyataan memaklumkan parti itu sudah mencapai persetujuan dalam kalangan komponen melibatkan kuota lantikan politik di dalam kerajaan negeri.

Persetujuan tersebut dibuat di dalam satu mesyuarat bulanan Majlis PH Perak yang diadakan di Wisma Amanah Perak pada Sabtu.