Detik cemas ibu hamil selamatkan diri ketika banjir
Iklan
Roziani Arniza Ahmad, 36, (kiri) bersama keluarganya menjamu selera selepas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sahom. - Foto: Bernama
KAMPAR - Seorang ibu hamil enam bulan antara 91 penduduk Kampung Sahom di sini yang berdepan detik cemas ketika menyelamatkan diri sewaktu banjir melanda kawasan itu pada Rabu lepas.
Roziani Armiza, 36, seorang suri rumah berkata, sewaktu kejadian, dia dan keluarganya sedang berehat di rumah apabila hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang sehingga air memasuki rumah didiami sejak 40 tahun itu.
"Tidak sempat kemas apa-apa. Air laju, deras sehingga tenggelam semua peralatan di dalam rumah.
"Nasib baik ada suami dan dua anak berusia 14 dan 15 tahun yang bantu saya selamatkan diri,” katanya sewaktu ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sahom, kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Ipoh pada Jumaat.
Setakat ini, seramai 91 penduduk kampung itu dipindahkan ke PPS berkenaan sejak Rabu malam apabila kampung terbabit dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan pada hari yang sama.
Banjir kilat menyebabkan beberapa rumah di kampung berkenaan terjejas selepas paras air Sungai Rias naik mendadak.
Sementara itu, seorang warga emas dikenali Mek Su, 76, berkata, dia sedang bermain dengan cucu dan cicitnya apabila kediaman dinaiki air yang disifatkan terburuk sejak 40 tahun tinggal di kawasan itu.
Dalam pada itu, jirannya, Norshazila Md Nasir, 38, berkata, dia sedang berada di pejabat apabila dimaklumkan ibunya mengenai kejadian itu dan bergegas pulang untuk memindahkan keluarganya ke PPS berkenaan.
"Syukur tiada apa-apa. Keluarga semua selamat. Air banjir datang mengejut. Harap peti ais dan lain-lain tidak rosak,” katanya.
Tinjauan di PPS itu mendapati kesemua penduduk diberi kemudahan tempat tinggal, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan kaunseling serta tidak dibenarkan pulang berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, siasatan sedang dilakukan pihak berkaitan bagi mencari punca kejadian itu agar ia tidak berulang lagi selepas ini.
Beliau turut memberikan sumbangan daripada kerajaan negeri berupa wang tunai RM300 dan kotak makanan bagi meringankan beban mangsa banjir.
"Ini sumbangan awal, akan ada lagi daripada beberapa pihak. Kerosakan pada harta benda dan barang keperluan sedang dinilai,” katanya.- Bernama
Lebih membanggakan, kejayaan penyelidikan yang dilaksanakan di perairan negeri ini bukan sahaja membolehkan bekalan benih kerang diperoleh sepanjang tahun, malah memendekkan tempoh penternakan kepada sekitar lima ke enam bulan bagi satu kitaran pengeluaran.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/802681/edisi/perak/benih-kerang-tidak-putus-potensi-perak-jadi-pusat-pembiakan-terbaik-dunia
Muzik: Neptune- Spotlight dari bensoud.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.