Jual nasi lemak RM1 jana pendapatan sampingan

Iklan
Muhammad Izzat Haikal bersama anaknya, Hanis Dahlia, 8 bulan di lokasi jualan nasi lemak dekat masjid Seberang Takir, di Kuala Nerus.

KUALA NERUS - Seorang pekerja swasta nekad menjual nasi lemak pada harga RM1 sebungkus bagi menjana pendapatan sampingan.

Muhammad Izzat Haikal Mohammad Zawawi, 24, menjual nasi lemak yang dimasak isterinya, Fatin Nabilah Ibrahim, 21, berdekatan masjid Seberang Takir, di sini setiap malam Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Iklan
Iklan

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, peningkatan harga barangan tidak menjadi halangan buat mereka untuk menjual nasi lemak pada harga lebih murah.

"Kalau ikutkan harga semasa nasi lemak ini RM2.50 sebungkus, namun bagi orang yang kurang mampu ia mungkin mahal. Sekurang-kurangnya nilai RM2.50 itu mereka sudah boleh dapat dua bungkus nasi lemak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Muhammad Izzat Haikal berkata, nasi lemak yang mula dijual sekitar jam 8 malam itu dibungkus bersama dua pilihan lauk iaitu ikan bilis atau ikan aya (tongkol).

Katanya, setakat ini sambutan diterima terhadap nasi lemak hasil olahan isterinya itu amat memberangsangkan.

Iklan

"Setiap malam Khamis dan Jumaat kita sediakan dalam 200 bungkus nasi lemak manakala pada Sabtu pula sekitar 100 bungkus sahaja.

"Setakat ini kami terima maklum balas positif daripada pelanggan. Kebanyakan mereka mengakui nasi lemak ini menepati selera dan cita rasa mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Izzat Haikal berkata, walaupun hasil jualan agak tipis, ia memberikan satu kepuasan buat dia dan isteri kerana dapat berkongsi rezeki bersama insan lain.

"Hasil pendapatan melalui jualan ini tidaklah begitu banyak namun ia mampu untuk menjadi sumber pendapatan tambahan buat kami sekeluarga," jelasnya.