Sivaraj gesa penyokong BN beri kemenangan kepada calon PH

Iklan
Sivaraj - Foto Bernama

KULIM - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj memaklumkan, masih ramai pengundi di kawasan itu yang keliru berhubung keputusan BN memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rabu ini.

Sivaraj berkata, ramai pengundi khususnya penyokong BN, masih hendak mengundinya pada pilihan raya itu, walaupun keputusan memberi laluan kepada calon PH diumumkan pada Jumaat lepas.

Iklan
Iklan

"Maka wajar pengundi yang sokong BN atau saya mengundi calon PH. Ia lebih baik dibiarkan pertembungan satu lawan satu (dengan calon Perikatan Nasional), baru kita ada peluang menang,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Jumaat lepas, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa BN memberi laluan dan menyokong calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak untuk PRU15 Parlimen Padang Serai, 7 Disember ini.

Iklan

Menurut Sivaraj, jentera BN kini sedang berusaha sedaya upaya turun ke setiap kawasan dan memberi penjelasan kepada penyokong BN berhubung keputusan yang harus mereka lakukan pada hari pengundian nanti dengan mengundi calon PH.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau akan dipertimbangkan untuk diberi peranan sesuai dalam kerajaan, Sivaraj berkata beliau berterima kasih dengan cadangan tersebut.

Iklan

"Saya tidak meminta atau ditawarkan (sebelum bersetuju memberi laluan). Saya tidak meletakkan apa-apa syarat, malah pada awal lagi saya kata tak adil untuk saya memberi laluan kepada calon PH, kerana saya sudah berkhidmat lebih lama berbanding beliau di Padang Serai.

"Saya ambil masa seharian untuk membuat keputusan dan selepas itu saya putuskan perlu memberi laluan kerana kalau undi kita pecah, risiko kerusi dimenangi Perikatan Nasional dan saya juga perlu terima hakikat sebab BN juga yang berikan watikah untuk saya bertanding,” katanya. - Bernama