Kepok kubur terjejas akibat tanah runtuh

Iklan
Masri (kanan) ketika turun padang melihat kejadiah tanah runtuh di kawasan perkuburan berkenaan. (Foto FB Majlis Bandaraya Seremban)

SEREMBAN - Beberapa buah kepok kubur di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, di sini terjejas akibat tanah runtuh susulan hujan lebat kebelakangan ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, tanah perkuburan itu terletak dibawah pengurusan pihak Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng Ampangan.

Iklan
Iklan

"MBS telah dimaklumkan bahawa pihak masjid akan menghubungi waris untuk memberitahu mengenai kepok yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh tersebut.

"Hujan terlalu lebat telah menyebabkan berlaku pergerakan tanah. Hal ini terjadi disebabkan kandungan air dalam tanah yang tinggi dan mengakibatkan cerun runtuh kerana kedudukan Makam Tuan Haji Said yang terletak berhampiran dengan Sungai Temiang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ujarnya, MBS akan membantu pihak pengurusan masjid untuk melakukan kerja-kerja perlindungan cerun menggunakan beberapa lapis 'gabion wall' bagi menghalang daripada berlakunya pergerakan tanah dan hakisan sungai.

"Sehubungan itu, Majlis memohon warga Bandar Raya Seremban yang mempunyai sebarang aduan boleh mengemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Majlis Bandaraya Seremban.

Iklan

"Aduan juga boleh dibuat melalui Aplikasi Respons Rakyat atau hubungi Unit Call Centre ditalian 06-7654444 yang beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 8 malam pada hari bekerja," katanya.