Menang tak megah, kalah tak rebah

Iklan
Gambar hiasan

HARI ini sudah masuk 1 Disember. Kita sudah beralih ke bulan baharu.

Bulan November yang disebut sebagai bulan PRU15 sudah berakhir. Oleh itu, adalah baiknya kita semua terus move on dan mula memberikan tumpuan untuk bersama membina semula negara.

Iklan
Iklan

Dalam PRU15 lepas, amat sesuai digunakan pepatah ‘yang menang tak megah dan yang kalah tak rebah’. Pakatan Harapan (PH) yang menang paling banyak kerusi tapi tak cukup untuk membentuk kerajaan.

UMNO pula yang menang sedikit kerusi jadi penentu kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Begitu juga dengan Perikatan Nasional (PN). Biarpun mereka juga menang banyak kerusi dan tak dapat jadi kerajaan, tapi masih boleh berperanan sebagai pembangkang yang kuat.

Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan dengan gabungan kekuatan para pemimpin daripada PH dan juga pengalaman luas pemimpin UMNO dilihat mampu membawa negara ke arah pemulihan ekonomi serta kestabilan politik di masa depan.

Iklan

Sebagai contoh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpengalaman luas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika beliau bersama UMNO dahulu.

Maka dengan kombinasi bersama ahli Parlimen UMNO yang sudah biasa mentadbir dan menguruskan kerajaan, pastinya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.

Begitu juga dengan blok pembangkang yang bakal diketuai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kewibawaan kepimpinan dan pengalaman yang dimiliki Ahli Parlimen Pagoh tidak seharusnya dipertikaikan, dan jika digandingkan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, boleh membentuk satu pasukan pembangkang yang efektif.

Blok PN dan Pas ini mampu menjadi semak dan imbang yang bagus kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Apatah lagi dengan profil Muhyiddin sebagai bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pastinya dapat memberi sumbangan idea dan cadangan kepada kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi negara dengan lebih cepat.

Kita sebagai rakyat Malaysia pula perlulah menghormati keputusan PRU15. Sampai masanya serahkan kepada kepimpinan yang sudah dipilih berdasarkan sistem demokrasi negara untuk membawa Malaysia ke tahap lebih baik.

Lagi pun, rakyat Malaysia sudah penat untuk ‘melayan’ senario politik negara yang tidak menentu selama ini.