PRU15: Syor Kedah beri cuti khas PRU Padang Serai

Iklan
Wan Saiful (kanan) dan Azman beramah mesra dengan pengundi di Taman Mansuri, Padang Serai, Kulim, Kedah.

PADANG SERAI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan agar kerajaan Kedah mempertimbangkan cuti khas kepada pengundi khususnya di Parlimen Padang Serai, 7 Disember nanti.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia bertujuan memberi kemudahan memandangkan hari pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Parlimen Padang Serai jatuh pada Rabu iaitu hari bekerja buat semua penjawat awam dan swasta di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, wujud kebimbangan peratusan keluar mengundi menurun sekiranya mereka terpaksa bekerja termasuklah anak muda berusia 18 tahun ke atas yang baru pertama kali diberi peluang menunaikan tanggungjawab itu.

Beliau ditemui media ketika mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin menemui pengundi di Taman Mahsuri di sini pada Ahad.

Iklan

Jelasnya, PN perlu memastikan jumlah peratusan keluar mengundi tinggi sebagai usaha memenangi kerusi tersebut.

"Bagi saya kerusi Parlimen Padang Serai ini penting sebab berlaku betul-betul selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

"Ia akan menjadi kayu ukur sejauh mana gelombang yang dikatakan menyokong PN itu benar-benar wujud dan komitmen sayalah untuk bantu memastikan bahawa gelombang itu kekal sehingga ke hari mengundi mahupun selepas itu lagi.

"Jadi keputusan di Padang Serai ini satu perkara yang amat penting untuk masa depan negara kita," katanya.

Sebelum ini, SPR menetapkan proses pengundian di Parlimen Padang Serai ditunda ke 7 Disember nanti berikutan kematian calon M Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November, tiga hari sebelum PRU15.

Proses penamaan calon Parlimen Padang Serai ditetapkan 24 November lalu dan undian awal pada 3 Disember 2022.

Selain Azman, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antaranya Datuk C Sivaraj (BN), Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abd Rahman (GTA), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).