Raja-Raja Melayu selesai adakan Perbincangan Khas

Iklan
Kenderaan-kenderaan dinaiki Raja-Raja Melayu berangkat meninggalkan Istana Negara pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Raja-Raja Melayu dipercayai selesai mengadakan perbincangan khas di Istana Negara yang berlangsung selama hampir tiga jam bermula kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah adalah yang terakhir berangkat meninggalkan Istana Negara pada 1.07 minit petang tadi.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi yang terawal berangkat pulang daripada Istana Negara selepas kenderaan yang membawanya dilihat keluar dari pintu utama pada sekitar jam 11.57 pagi.

Perbincangan khas yang diadakan pada pagi ini adalah dimaklumkan bagi mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan berkenaan pembentukan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Iklan

Keputusan yang bakal diambil dibuat demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Semua Raja-Raja Melayu iaitu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kecuali Sultan Kelantan, hadir ke Istana Negara pada Khamis.

Iklan

Sesi-sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional, (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berasingan bermula jam 4.30 petang Rabu.

Krisis penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri pada Khamis menyaksikan masih tidak ada mana-mana gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk mentadbir negara.

PRU15 pada 19 November lalu menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada gabungan parti memiliki majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

BN yang memperoleh 30 kerusi Parlimen dianggap menjadi 'king maker' atau penentu kepada penubuhan kerajaan baharu tersebut.

PH dan PN yang masing-masing memenangi 82 dan 73 sebelum ini turut melakukan beberapa pertemuan dengan pemimpin BN bagi mencapai persetujuan untuk pembentukan kerajaan.