Surat sokong Anwar: Zahid belakangi Dewan Tertinggi BN

Iklan
Tan Sri S A Vigneswaran.

SHAH ALAM - Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran mengesahkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat kepada Istana Negara menyatakan sokongan ahli parlimen BN kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.

Menurut laporan Malaysiakini, beliau turut mendakwa Ahmad Zahid mengaku menghantar surat berkenaan selepas 10 ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan BN membuat keputusan untuk kekal berkecuali.

Iklan
Iklan

Laporan portal berita itu turut menyebut surat berkenaan telah menyebabkan ketegangan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu pada malam Selasa dan terdapat percubaan untuk memecat Ahmad Zahid sebagai Pengerusi gabungan itu.

Difahamkan juga mesyuarat tersebut turut membincangkan tawaran PH kepada BN sekiranya mereka menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan antara tawaran tersebut ialah jawatan Timbalan Perdana Menteri dan portfolio kanan Kabinet termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia serta kementerian Pengangkutan.

Iklan

Sementara itu Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dalam satu kenyataan berkata, surat yang ditandatangan oleh Ahmad Zahid mengenai BN memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri tidak dibuat secara konsensus.

"Ditegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat BN yang ditandatangani Ahmad Zahid, mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Selasa.

Iklan

"Sebaliknya, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini," katanya.

Ujar beliau, apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Selasa ialah MCA dan parti-parti komponen lain telah mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dilihat bercanggah dengan apa yang diputuskan.

"Pada mulanya beliau menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih.

"Surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda," jelas Sin Woon.

Justeru, beliau berpandangan Ahmad Zahid tidak layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar meletakkan jawatan secara terhormat.

"Datuk Seri Mohamad Hasan dicadangkan menggantikan beliau seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Tertinggi BN malam tadi," katanya.