714 mangsa banjir masih terkandas di PPS sekitar Sepang

Iklan
Antara lokasi yang terjejas akibat banjir di sekitar Dengkil, Sepang

SEPANG - Sebanyak enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di sekitar daerah ini bagi menempatkan seramai 714 mangsa banjir di sini setakat Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, kesemua mangsa berkenaan terdiri daripada 182 keluarga yang terjejas akibat banjir sejak Khamis.

Iklan
Iklan

"Enam buah PPS adalah di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang yang menempatkan 69 orang mangsa, Balairaya MPKK Taman Semarang Dengkil (enam), Dewan Komuniti Pekan Dengkil (63) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil (308).

"Turut dijadikan sebagai PPS adalah Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato Ahmad Razali yang menempatkan 128 mangsa, dan Sekolah Labu Lanjut (140) di mana kesemuanya masih aktif setakat jam 8 malam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pada masa sama, beliau berkata, pemantauan berterusan sedang dijalankan pihaknya bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

"Antara lokasi pemantauan banjir termasuk di Kampung Ampar Tenang, Kampung Sri Tanjung, Kampung Semarang, Kampung Sungai Buah, Kampung Cemperai, Taman Salak Budi, dan Taman Indah Puteri," ujar beliau.

Iklan