Bersatu Batu Pahat nafi 30 bekas ahli sertai UMNO

Iklan
Syed Mohammad bersama Rashid dan ahli Bersatu Pahat selepas sidang akhbar di Batu Pahat pada Khamis.

BATU PAHAT - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Batu Pahat, Syed Mohammad Syed Alwi menafikan dakwaan seramai 30 bekas ahli parti itu menyertai UMNO.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Seri Dr Puad Zarkashi di Facebooknya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Syed Mohammad berkata, hakikatnya hanya beberapa ahli Bersatu yang keluar menyertai UMNO.

"Taktik murahan sebegini memang telah kita jangkakan. Serangan demi serangan kepada saya dan kepimpinan Bersatu Batu Pahat terus dibuat secara berterusan menjelang hari pembuangan undi pada 19 November ini," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Semalam, Puad membuat kenyataan di Facebooknya dan mendakwa menerima borang permohonan keahlian UMNO oleh 30 bekas ahli Bersatu.

Puad berkata, ahli Bersatu yang keluar parti itu juga menubuhkan cawangan baharu iaitu UMNO Puncak Impian.

Iklan

Sementara itu, Syed Mohammad berkata, ahli-ahli cawangan dan bahagian Bersatu di Batu Pahat akan terus berdiri kukuh dibawah kepimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Rashid Hasnon.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa Bersatu Batu Pahat bersetuju menubuhkan cawangan penaja Banang Jaya dan melantik Mohd Hanafi Yusof sebagai Ketua Cawangan Penaja berkuat kuasa serta-merta selain mengekalkan ahli jawatankuasa dari Kampung Rahmat sebagai Jawatankuasa Penaja.

"Selain itu, semua ahli jawatankuasa cawangan tersebut telah menyatakan untuk memberi sokongan penuh kepada Bersatu Batu Pahat dan calon PN Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon," katanya.