PRU15: KDN hanya siasat aset Rafizi jika ada keperluan

Iklan
Hamzah (kiri) menyampaikan anugerah perkhidmatan khas kepada Penguasa Imigresen Johor, Noor Haironi Ngadirin pada Majlis Perhimpunan Jabatan Imigresen di Putrajaya pada Jumaat. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya akan melakukan siasatan jika terdapat keperluan berhubung aset milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan berhubung perkara itu setakat ini akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Khamis, media melaporkan SPRM akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta dilakukan Rafizi.

Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara sebelum itu menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Pandan.

Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz mempersoal deklarasi aset Rafizi dengan RM16 juta diperoleh melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.

Sementara itu, Hamzah berkata, sebanyak 92 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat Khamis, merangkumi pelbagai kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan penyalahgunaan media sosial.

"Kita sedang buat siasatan dan kesalahan dalam akta lain akan kita teliti. Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku seperti rusuhan,” katanya.

Terdahulu, Hamzah melancarkan pas digital (ePASS) pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini pada Jumaat.

ePASS ialah perkhidmatan dalam talian dan digital terbaharu Jabatan Imigresen yang membolehkan majikan mencetak sendiri pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja mereka. - Bernama


Iklan
Iklan





Iklan
Iklan