Daerah Hulu Langat, Klang berisiko banjir musim tengkujuh

Iklan
Bomba Selangor membuat persediaan bencana banjir bersama bomba komuniti dan bomba sukarela di tasik berhampiran Desa Tropika Seksyen U15 Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SHAH ALAM - Daerah Hulu Langat dan Klang di Selangor yang membabitkan 23 lokasi panas diletakkan sebagai kawasan bahaya serta dijangka berisiko banjir ketika Monsun Timur Laut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, terdapat sembilan daerah di negeri ini yang telah dikelaskan bergantung kepada situasi semasa monsun nanti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dikategorikan sebagai kurang risiko manakala Kuala Selangor, Petaling, Kuala Langat, Gombak dan Sepang adalah risiko sederhana.

Norazam

"Daerah Hulu Langat dan Klang telah diletakkan sebagai berisiko banjir iaitu terdapat 113 kawasan berisiko dan 23 lokasi hotspot banjir.

Iklan

"Sebanyak 249 pusat pemindahan sementara (PPS) akan ditetapkan di dua daerah ini iaitu 188 di Klang dan 61 di Hulu Langat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Norazam berkata, Bomba Selangor turut bersedia dengan 72 bot pelbagai jenis termasuklah bot fiber dan bot aluminium selain bot penyelamat.

Iklan

Katanya, seramai 1,742 anggota Bomba Selangor akan ditempatkan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut ini.

Turut terlibat adalah bantuan 4,130 anggota bomba komuniti serta 700 anggota bomba sukarela.

"Penugasan sepanjang tempoh ini turut dilengkapi dengan persediaan peralatan antaranya mesin gergaji rantai, jaket keselamatan, lampu suluh serta kasut but," ujarnya.

Tambahnya, orang awam diminta untuk segera memberi info dan maklumat penting kepada agensi keselamatan berkenaan sebarang keadaan banjir dan kawasan berisiko.

"Ibu bapa juga diingatkan untuk memantau anak terutamanya sekiranya situasi mula berbahaya. Segera berpindah ke PPS selepas keadaan tidak selamat," ujarnya.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bakal bermula lebih awal iaitu pada 7 November dan berterusan sehingga Mac 2023.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai kerana hujan yang berlarutan.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh antara 6 hingga 11 November, 22 hingga 27 November, 7 hingga 12 Disember, 22 hingga 26 Disember 2022 dan 6 hingga 10 Januari serta 21 hingga 25 Januari, 2023.