Percubaan terakhir 'Cucu Mat Kilau'

Iklan
Mohd Shukri menunjukkan dua borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan DUN di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

KUANTAN - Blogger kontroversi, Mohd Shukri Mohd Ramli atau lebih dikenali dengan gelaran Cucu Mat Kilau (CMK) mahu mencuba nasib dalam politik sekali lagi menerusi gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Mohd Shukri, mengambil semangat daripada filem Mat Kilau menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk bertanding dua kerusi masing-masing di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

Iklan
Iklan

"Ikut perancangan, saya berhasrat untuk bertanding di Parlimen dan DUN. Kerusi mana saya akan bertanding, kalau Parlimen saya masih berkira-kira untuk memilih Parlimen Kuantan atau Indera Mahkota. Begitu juga kerusi DUN antara Teruntum dengan Semambu.

"Tapi kalau pun sudah ada keputusan saya tidak mahu dedahkan, sebaliknya tunggu dan lihat pada hari penamaan 5 November depan," katanya ketika diminta mengulas kesediaannya untuk bertanding pada PRU15 walaupun pernah kehilangan wang deposit.

Iklan

Mohd Shukri sebelum ini adalah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum mengumumkan keluar daripada parti itu pada Februari 2011.

Beliau pernah bertanding pada PRU12 di kerusi DUN Kemayan dalam Parlimen Bera; kerusi DUN Semambu (Parlimen Indera Mahkota) pada PRU13 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada tahun 2020.

Iklan

Mohd Shukri memaklumkan, pemilihan dua kerusi itu dibuat kerana rakyat di kawasan sekitar bandar raya Kuantan mengenalinya kerana pernah berjuang isu rakyat sejak tahun 1998.

Justeru katanya, ini lebih mudah untuknya menyuarakan masalah rakyat Pahang apabila berada dalam sidang Parlimen mahupun DUN sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Menjawab pertanyaan sama ada beliau tidak serik bertanding, Mohd Shukri mengakui serik bertanding atas tiket Bebas.

Jelasnya, senario politik di Malaysia berbeza, walaupun hebat mana calon itu atau namanya gah, namun ia sebenarnya tidak meyakinkan rakyat memilih dan mengundi calon Bebas.

"Jadi, ini memberi gambaran calon Bebas ini sukar untuk mencapai kemenangan atau istilah lebih tepat jauh panggang dari api.

"Saya sendiri rasakan bahawa calon Bebas ini tidak boleh pergi jauh, walaupun duit banyak mana pun. Ini kerana rakyat melihat calon bebas ini seperti tiada hala tuju.

"Jadi sebab itu, saya cuba menjadi calon bagi mewakili parti politik pada PRU15," katanya yang masih berteka-teki mengenai parti yang akan diwakilinya.

Pada sidang akhbar sebelum ini, Mohd Shukri memaklumkan beberapa tawaran sudah diterima daripada parti politik seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Gerakan Tanah Air (GTA) serta Parti Rakyat Malaysia untuk menjadi calon.

"Ada lima kapal (parti) yang boleh saya tumpang, sudah pastinya kapal yang ingin saya tumpang menuju ke pulau (kawasan) yang selamat. Saya tidak boleh tumpang kapal yang sudah bocor, nakhoda ada dua tiga sebab haluan bercelaru.

"Saya kena buat pilihan tepat dalam masa terdekat. Selepas itu, saya akan dibawa untuk berjumpa kepimpinan parti yang telah dipilih dan mereka bawa usul ini ke dalam mesyuarat negeri untuk buat ketetapan," katanya.

Dalam pada itu Mohd Shukri memaklumkan akan bersara daripada dunia politik sekiranya tewas dalam pilihan raya kali ini.

Katanya, gelanggang PRU15 adalah percubaan terakhirnya.

"Jika kalah juga, maknanya saya sudah tidak laku dan bolehlah saya tumpukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerja lain.

"Tapi, sejak terbabit dalam politik pada tahun 1998, saya tidak pernah menyesal dalam memperjuangkan nasib rakyat serta isu alam sekitar," ujar beliau lagi.