Tun M persoal mengapa tiada tindakan terhadap Apandi

Iklan
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang jelas melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, kesalahan melepaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tindakan undang-undang juga menunjukkan Apandi terbabit dalam menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Iklan
Iklan

"Bagaimana boleh Apandi sebagai Peguam Negara dengan mudah melepaskan Najib sedangkan sembilan hakim bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim Mahkamah Persekutuan, kesemuanya mendapati Najib bersalah.

"Bahkan seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei 2022 dalam penghakiman bertulisnya sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang telah menyimpulkan bahawa Apandi, antara lain ialah seorang penipu dan gagal melaksanakan tugas sebagai Peguam Negara.

Iklan

"Apandi juga menolak bantuan undang-undang bersama daripada pihak berkuasa Switzerland dan juga Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sedangkan dia sedar bantuan mereka diperlukan untuk siasatan 1MDB,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Ujar Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, Azimah turut menyatakan rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.

Iklan

Jelasnya, susulan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi namun tiada sebarang tindakan diambil.

"Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan kerana telah menamatkan perkhidmatannya ekoran gagal menjalankan tugas.

"Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang telah didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat dalam skandal 1MDB telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh,” tambahnya.

Mengulas mengenai siasatan terhadap buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness, Dr Mahathir mengakui beliau tidak mempunyai sebarang halangan atas siasatan itu.

"Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya,” katanya.