Semua calon GPS akan jalani tapisan: Abang Johari

Iklan
Tan Sri Abang Johari Tun Openg

DARO - Semua calon berpotensi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 akan menjalani proses tapisan oleh pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka akan diletakkan sebagai calon sekiranya lulus proses tapisan tersebut.

Iklan
Iklan

"Jika mereka lulus, mereka akan diletakkan sebagai calon kita (GPS).

"Jika mereka gagal, mereka tidak akan menjadi calon kita," katanya yang juga Premier Sarawak pada sidang media selepas melawat Kompleks Sukan Daro di sini pada Ahad.

Iklan

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, GPS kemungkinan akan meletakkan 12 muka baharu dan muda sebagai calonnya bagi 12 kerusi Parlimen yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Kerusi Parlimen itu ialah Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Puncak Borneo, Lubok Antu, Saratok, Sarikei, Julau, Selangau, Sibu, Lanang dan Miri.

Iklan

Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada penyandang daripada parti itu yang telah menawarkan diri untuk berundur bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Mengenai peluang GPS memenangi kesemua 31 kerusi dalam pilihan raya kali ini, Abang Johari berkata, masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang ramalan.

"Bagaimanapun berdasarkan sentimen di lapangan, kami dalam GPS telah membuktikan rekod prestasi kami dengan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC)," katanya. - Bernama