Wetrom sudah hantar surat keluar Bersatu

Iklan
Wetrom (kiri) bersama Peter (kanan) ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam Solidariti KDM di Dewan Hakka, Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda mengesahkan bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau dalam pada itu turut mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu atas tiket parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

"Saya secara sah telah keluar daripada Bersatu, saya umumkan untuk bertanding sebab melihat keadaan di Kota Marudu dan aspirasi rakyat pada dasarnya.

"Ini adalah prerogatif (kuasa) Ketua Menteri, saya tidak boleh melebihi kuasa beliau," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam Solidariti KDM di Dewan Hakka, Likas, di sini, pada malam Jumaat.

Iklan

Sementara itu, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony berkata, kebiasaannya apabila seorang wakil rakyat menyertai mana-mana parti politik lain secara automatik akan gugur keahliannya.

"Jadi sama ada mereka terima atau tidak, itu normal dalam politik," jelasnya.

Iklan

Sebelum itu, kehadiran Wetrom pada majlis rasmi KDM merungkai segala persoalan berhubung status beliau dalam Bersatu selain dikatakan berhasrat untuk bertanding di Kota Marudu.

Media sebelum ini melaporkan Wetrom keluar daripada Bersatu dan berhasrat untuk menyertai Parti Warisan pada Sabtu lalu.

Perkara itu turut disahkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,namun memaklumkan bahawa permohonannya akan dipertimbangkan tetapi tanpa sebarang tawaran jawatan.

Bagaimanapun, selepas tiga hari kemudian tular sekali lagi di media sosial gambar Wetrom yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri bersama Peter dan dikatakan beliau telah menyertai KDM.