[VIDEO] Individu positif Covid-19 akan dibenar mengundi

Iklan
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Individu yang positif Covid-19 namun tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun individu tersebut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihaknya telah bermesyuarat dengan SPR bagi mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan sebagai SOP bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar dan selamat.

"Pemakaian pelitup muka dan pelindung muka juga penting selain sanitasi. Pemakaian pakaian perlindungan peribadi (PPE) lengkap kami tak cadangkan dalam SOP," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada Khamis.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah melakukan persiapan menghadapi banjir termasuk menyediakan petugas di lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengenal pasti lokasi yang mempunyai pesakit berisiko.

Katanya, petugas akan memastikan aspek kebersihan di PPS terjaga dan melakukan saringan bagi mengelak risiko jangkitan pelbagai penyakit yang berbahaya.

Iklan

"Untuk pesakit dengan kes berisiko seperti buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis pula, KKM dah kenal pasti awal kedudukan mereka supaya rawatan tak putus (terhenti) ketika banjir.

"Kami ada data mereka dan kami ada juga data tempat mana yang perlu kami tingkatkan perkhidmatan jika berlaku banjir," katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak 552 daripada 2,891 Klinik Kesihatan di seluruh negara dikenal pasti berisiko dilanda banjir, namun langkah alternatif telah diambil bagi menghadapi masalah terbabit. - Bernama