Keldai akaun punca ‘scammer’ bermaharajalela

Iklan
Rahmat Fitri

SHAH ALAM - Mudah mendapatkan akaun bank untuk tujuan penipuan menjadi punca 'scammer' memilih negara ini untuk menjalankan kegiatannya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Asisten Superintendan Rahmat Fitri Abdullah berkata, keldai akaun digunakan oleh scammer untuk mendapatkan duit daripada mangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila pemilik asal akaun bank berkenaan bertindak menyerahkan butiran kepada pihak ketiga kerana didorong dengan bayaran dan sebagainya.

"Hasil siasatan mendapati scammer yang pernah ditangkap mengaku mereka mudah mendapatkan khidmat keldai akaun di Malaysia,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Kompas Rasuah Busters ‘Waspada Helah Scammer’ dihoskan oleh Anim Ezati Rizki yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, sebagai orang yang bertanggungjawab, butiran mengenai akaun bank tidak sewajarnya diserahkan kepada pihak lain kerana ia merupakan satu kesalahan.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penipuan skim pelaburan yang hadir dengan pelbagai modus operandi demi menyakinkan mangsa.

"Kalau diminta untuk melakukan transaksi wang kepada akaun peribadi untuk tujuan pelaburan itu adalah satu bentuk penipuan, jangan terpedaya,” tegasnya

Moderator, Anim Ezati Rizki (kiri) dan Rahmat Fitri (tengah) ketika Program Kompas Rasuah Busters bertajuk"Awas! Waspada Helah Scammer” yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Ujar beliau, kebanyakan mangsa tertipu kerana keuntungan yang ditawarkan scammer amat tinggi.

Tambahnya, taktik scammer bermula daripada grup Telegram atau WhatsApp untuk 'memancing' mangsa menggunakan nama syarikat e-dagang popular.

"Kaedah terbaharu mangsa diberi ‘task’ mudah dan mendapat duit sebelum scammer meminta mangsa melabur wang dalam jumlah yang besar kononnya boleh mendapat pulangan yang lumayan,” katanya.

Rahmat Fitri berkata, mangsa yang teruja kemudiannya sanggup bergolok gadai menghabiskan wang simpanan berpuluh ribu untuk menyertai skim pelaburan tipu berkenaan yang akhirnya menyebabkan kerugian besar,” katanya.

"Saya mahu terapkan nilai ‘STAR’ iaitu Stop, Think, Action, Respons bagi mengelak mangsa terjerat dengan scammer.

"Sebagai contoh kalau kita dihubungi oleh seseorang yang menuduh kita terlibat dengan jenayah tetapi hakikatnya kita tak pernah terlibat dengan perkara yang dinyatakan, tak payah layan panggilan itu,” ujarnya.