Elak cukai tertunggak, LHDN terbuka runding dengan pembayar

Iklan

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan serta rundingan sekiranya ada pihak mempunyai masalah bagi menyelesaikan tunggakan cukai mereka.

Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, peruntukan undang-undang turut memberi ruang kepada pembayar untuk membayar cukai atau baki secara ansuran.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) jelas memperuntukkan kewajipan pembayar cukai yang terdiri daripada individu, syarikat dan juga mana-mana pertubuhan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai kepada LHDN setiap tahun.

Jelas kenyataan itu, kegagalan individu terlibat mematuhi peruntukan akta berkenaan boleh menyebabkan penalti dikenakan, sekali gus mengakibatkan amaun cukai yang perlu dibayar menjadi lebih tinggi.

Iklan

"Tunggakan cukai merupakan isu yang seringkali membelenggu pembayar cukai sekiranya mereka culas serta mengabaikan tanggungjawab kepada kerajaan.

"Sikap bertangguh serta tidak ambil peduli oleh sesetengah pembayar cukai akan mengakibatkan mereka berhadapan dengan tindakan susulan pemungutan oleh LHDN.

Iklan

"Bagi mengurangkan kes tunggakan cukai ini, pembayar cukai disarankan untuk berhubung dengan LHDN bagi mendapatkan khidmat perundingan percukaian secara percuma di samping pihak kami juga terbuka dalam setiap apa jua rundingan cukai demi kepentingan kedua-dua pihak,” katanya.

Tambahnya, isu tunggakan cukai wujud apabila pembayar gagal membayar kepada LHDN amaun cukai yang dikenakan dalam tempoh sepatutnya.

Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan mereka berdepan beberapa tindakan antaranya sekatan perjalanan ke luar negara, arahan potongan gaji dan sebagainya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama LHDN turut memaklumkan sehingga 31 Julai tahun ini sahaja seramai 186,346 individu termasuk pengarah syarikat dengan jumlah amaun tunggakan cukai berjumlah RM12.9 billion.

Susulan itu katanya, semua individu terlibat telah dikenakan tindakan sekatan perjalanan.

"Jika jumlah tunggakan cukai ini tidak ditangani sebaik-baiknya oleh LHDN ia secara tidak langsung akan menjejaskan kutipan cukai langsung negara dan berkemungkinan merencatkan program-program pembangunan direncanakan oleh kerajaan pada masa hadapan.

"Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh LHDN kepada golongan-golongan ini merupakan sebagai salah sebuah bentuk keadilan kepada pembayar cukai yang patuh kepada undang-undang percukaian demi kesejahteraan serta kemakmuran Keluarga Malaysia seluruhnya,” katanya.