PRN berasingan hanya tambah beban belanja kerajaan

Iklan
Wan Hisham

KUALA TERENGGANU - Langkah beberapa negeri termasuk Terengganu yang masih berteka-teki berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan cenderung untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan dilihat memberi beban perbelanjaan kepada kerajaan.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, keputusan mengadakan PRN secara berasingan memberikan impak kewangan terutama melibatkan penggunaan wang rakyat.

Iklan
Iklan

"Kalau sudah terlibat secara langsung di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kenapa tidak buat terus PRN. Bezanya hanya tambahan kertas undi DUN sahaja.

"Jika tiga kerajaan negeri (di bawah pentadbiran Pas) enggan membubarkan DUN, bermakna Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) terpaksa mengadakan PRN berasingan yang sudah tentu menambahkan lagi penggunaan duit rakyat," katanya dalam kenyataan disini, pada Selasa.

Iklan

Wan Hisham berkata, PRN berasingan bukan jawapan sekiranya kerajaan Pas benar-benar mahu memulihkan ekonomi pasca Covid-19.

"Apabila mereka mengambil bahagian dalam PRU, adakah mereka akan menggerakkan jentera mereka untuk persiapan pilihanraya atau mereka sekadar meletakkan calon sahaja kerana mereka sedang 'sibuk' membuat persiapan musim tengkujuh.

Iklan

"PRN berasingan akan membebankan lagi kewangan kerajaan yang sepatutnya boleh digunakan untuk menghadapi kemelesetan ekonomi," ujar beliau.

Wan Hisham mendakwa, alasan persiapan banjir yang diberikan hanyalah topeng untuk mengaburi mata rakyat.

"Berhentilah bermain berpolitik yang tidak berkesudahan dan biarkan rakyat bergerak maju ke hadapan. Pilihan yang ada ialah tambah satu lagi kertas undi DUN ketika PRU15 atau kita membazir waktu dan wang ringgit," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan pada Isnin berkata, keputusan sama ada DUN Terengganu dibubarkan atau tidak diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas di Kuala Lumpur pada pagi Selasa.

Menjawab persoalan sama pada Ogos lalu, beliau yang juga bekas ADUN Rhu Rendang menegaskan, DUN Terengganu tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen.