Gempa bumi sekali lagi landa Taiwan

Iklan
Gegaran gempa bumi dapat dirasakan di Taipei pada pagi Isnin. - Foto AFP


TAIPEI - Gempa bumi berukuran 5.5 magnitud berlaku di tenggara Taiwan pada Isnin sehingga gegarannya dapat dirasai di ibu kota Taipei iaitu sehari selepas gegaran lebih kuat mengakibatkan seorang terkorban dan mencederakan sekitar 150 yang lain.

Gempa bumi terbaharu itu berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan kiar-kira 66 kilometer dari selatan-barat daya bandar pantai Hualien pada kedalaman 13 kilometer, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Biro Cuaca Pusat Taiwan pula meletakkan kekuatan gempa bumi itu pada skala 5.9 magnitud.

Sebelum ini kawasan luar bandar dan tenggara Taiwan yang mempunyai bilangan penduduk tidak ramai digemparkan dengan beberapa siri gegaran gempa bumi sejak Sabtu lalu.

Gempa bumi paling kuat yang berukuran 6.9 magnitud melanda petang Ahad lalu sehingga meruntuhkan jalan raya dan rumah-rumah di bandar Yuli selain menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh.

Empat yang lain berjaya diselamatkan dari bangunan runtuh manakala pihak berkuasa berkata seramai 146 orang mengalami kecederaan dalam gempa bumi yang berlaku pada Ahad lalu.

Taiwan kerap dilanda gempa bumi dan kebanyakannya menyebabkan kerosakan minimum tetapi pulau itu juga mempunyai sejarah panjang bencana maut.

Hualien iaitu kawasan tumpuan pelancong, dilanda gempa bumi berukuran 6.4 magnitud pada tahun 2018 yang mengorbankan 17 mangsa dan hampir 300 lagi mengalami kecederaan. - AFP