'Isyarat buat kerajaan sedia ruang pendidikan baharu'

Iklan
Anwar menyampaikan syarahan pada Sesi Townhall: Pentas Interaksi Anak Muda di Pusat Alumni Universiti Malaya di sini pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Kecenderungan majoriti lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaporkan tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat universiti menjadi satu isyarat buat kerajaan untuk menyediakan ruang pendidikan baharu yang sesuai bagi mereka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia memandangkan tidak semua di antara mereka layak untuk menyambung pengajian ke universiti.

Iklan
Iklan

Jelasnya, program-program melibatkan latihan kemahiran sewajarnya menjadi perhatian oleh kerajaan pada masa kini memandangkan sebahagian anak muda lebih cenderung kepada bidang tersebut.

"Di Jerman kita boleh lihat mereka memberi perhatian dengan mewujudkan latihan-latihan terhadap kemahiran teknologi melebihi latihan industri memandangkan negara tersebut sememangnya negara yang memberi pengiktirafan kepada bidang teknologi. Saya tidak kata semua hal tersebut mesti diikuti, tapi ada sesuatu yang boleh kita contohi di situ.

Iklan

"Seandainya ada antara mereka yang telah bekerja, kita beri mereka peluang belajar sambil bekerja," katanya ketika menyampaikan syarahan pada Sesi Townhall: Pentas Interaksi Anak Muda anjuran Anwar Ibrahim Legislative Internship (AILA) di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini pada Ahad.

Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyentuh isu bayaran rendah terhadap penghantar makanan seperti yang berlaku kepada penunggang p-hailing.

Iklan

Ujar beliau, pihak syarikat seharusnya mengambil kira kebajikan para pekerja tersebut memandangkan terdapat dalam kalangan mereka yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Tambah Anwar, meskipun ideologi kapitalisme yang bersifat keuntungan itu dipegang oleh kebanyakan syarikat ketika ini namun ia tidak boleh bersifat menghakis kemanusiaan sesama insan.

"Adam Smith (tokoh kapitalis) tetap menekankan kepada sentimen moral yang membawa kepada kebajikan dan keadilan terhadap mereka terlibat dengan produktiviti sebuah industri.

"Saya tidak fikir ini bersifat untuk memberi 'kekayaan' kepada para pekerja ini. Namun, cukuplah di sebalik perkara tersebut, mereka semua berpeluang untuk dapat menjalani kehidupan dengan baik," jelas beliau.