Kes tibi menurun, tiada kluster baharu

Iklan
Dr Dzulkefly (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan tabung bantuan perubatan pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Majlis Iftar Perdana Masjid Al-Husna Baung Bayam di Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada kluster baharu direkodkan setakat ini bagi kes tuberkulosis (tibi) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kes tibi menunjukkan penurunan sebanyak 65 kes bagi Minggu Epidemiologi ketujuh tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 417 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 482 kes pada tahun sebelumnya.

"Alhamdulillah setakat ini tiada kluster-kluster baharu dan kes sudah mulai menurun," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Majlis Iftar Perdana Masjid Al-Husna Baung Bayam di sini pada Ahad.

Iklan

Pada program tersebut, beliau menyampaikan sumbangan tabung bantuan perubatan dan bakul makanan kepada golongan asnaf.

Dr Dzulkefly berkata, KKM berharap trend itu akan berterusan menurun pada masa akan datang.

Iklan

Katanya, pada masa sama usaha meningkatkan kesedaran mengenai keperluan saringan dan memakai pelitup muka kepada mereka yang mempunyai gelaja tibi akan terus dilakukan.

Sinar Harian 17 Februari lalu melaporkan, peningkatan kes tibi yang dilaporkan KKM wajar diberi perhatian serius semua pihak.

Sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini, 2,571 kes direkodkan di seluruh negara dengan 503 kes baharu dikesan.

Beberapa negeri mencatatkan jumlah kes tinggi, khususnya Sabah dan Selangor, sekali gus menggambarkan cabaran kesihatan awam yang tidak boleh dipandang ringan.