Sindiket seludup diesel bersubsidi lebih RM7 juta tumpas

Iklan
Kapal tongkang yang digunakan sindiket untuk menyeludup minyak diesel bersubsidi. - Foto PDRM.

KLANG - Tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 70,000 liter diesel bersubsidi oleh sebuah sindiket menggunakan sebuah kapal tongkang di Pandamaran pada Selasa.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, serbuan itu dijalankan menerusi Op Kontraban oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CSPK) Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

"Turut dirampas sebuah kereta dan pelbagai jenis peralatan untuk proses pemindahan minyak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Antara peralatan pemindahan minyak diesel yang dirampas. - Foto PDRM

Skandaguru berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7.59 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961.

Iklan

Pada masa sama, beliau menegaskan, operasi sedemikian akan terus dijalankan untuk membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel atau barangan bersubsidi lain yang mengakibatkan kerugian kepada negara.

"Komitmen PDRM dalam membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan diteruskan dengan kolaborasi pencegahan dan penguatkuasaan bersama.

Iklan

"PDRM menasihatkan mereka yang terlibat agar menghentikan aktiviti ini kerana tiada kompromi akan diberikan dan PDRM akan terus menjejaki mereka," ujar beliau.

Lori tangki yang diubahsuai khas untuk mengisi dan membawa minyak diesel. - Foto PDRM