Keputusan kes rasuah Rosmah keadilan untuk rakyat Sarawak

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

SHAH ALAM - Keputusan mahkamah tinggi berhubung kes membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor disifatkan sebagai suatu permulaan bagi mengembalikan keadilan untuk rakyat Sarawak.

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Chiew Choon Man berkata, keputusan tersebut juga jelas mencerminkan sikap pemimpin politik dan sekutunya yang sanggup menggadaikan nasib rakyat dan generasi akan datang hanya untuk memenuhi nafsu diri mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka tidak faham nilai amanah, kejujuran dan integriti, dan sanggup biarkan anak-anak belajar dalam keadaan yang tidak selesa dan tidak selamat, asalkan mereka dapat terus hidup dalam kemewahan yang melampau.

"Seperti yang kita sedia maklum, banyak sekolah di Sarawak terutamanya dari kawasan luar bandar berada dalam keadaan yang usang dan kekurangan kelengkapan serta kemudahan asas.

Iklan

"Menurut KPM masih terdapat sebanyak 351 bangunan sekolah daif di Sarawak. Daripada jumlah ini, sebanyak 107 sekolah yang disahkan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai bangunan yang tidak selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah yang didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Iklan

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman untuk rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengulas lanjut, Choon Man berkata, keputusan mahkamah juga sekali lagi memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia terhadap kebebasan badan kehakiman dan kewibawaan institusi penguat kuasa di negara ini.

"Keadilan dapat ditegakkan pada hari ini adalah hasil daripada sokongan seluruh rakyat Malaysia termasuk rakyat Sarawak yang tidak pernah berlaku dalam sejarah ke atas lambang Parti Keadilan Rakyat," katanya.