Kes SRC: Rayuan terakhir Najib bersambung hari ini

Iklan
Najib - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Selasa dijadual mendengar hujahan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, jika peguam Hisyam Teh Poh Teik yang baru dilantik oleh Najib untuk mewakilinya tetap enggan berhujah, maka panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mungkin membuat keputusan serta-merta atau menangguhkannya ke suatu tarikh lain.

Iklan
Iklan

Tengku Maimun, yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd, berkata, mahkamah akan menangani perkara itu pada Selasa (hari ini).

Pendakwaan, yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya 'ad hoc', Datuk V Sithambaram, ketika mengakhiri hujahan pada Jumaat pula berkata, mahkamah boleh terus membuat keputusan walaupun tiada hujahan daripada peguam Najib.

Iklan

Prosiding itu, yang bermula pada Khamis, menyaksikan pelbagai peristiwa menarik dengan Hisyam mula-mula memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib namun permohonannya ditolak oleh mahkamah yang kemudian mengarahkan pendakwaan untuk mengemukakan hujahan mereka terlebih dahulu.

Peguam itu turut memaklumkan panel Mahkamah Persekutuan bahawa Najib telah menggugurkan peguam caranya Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) daripada mewakili beliau.

Iklan

Hisyam sekali lagi memohon agar prosiding itu ditangguh sehingga Khamis ini kerana beliau mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu namun ditolak oleh mahkamah.

Pada 16 Ogos lepas, mahkamah menolak permohonan Hisyam untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu dan mengarahkan agar ia diteruskan pada 18 Ogos.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun kerana Mohd Nazlan telah memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Beliau kini dibebaskan dengan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu pelupusan rayuan itu.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara dan denda. - Bernama