Jenazah Toh Puan Zurina dikebumi di Makam Pahlawan Melaka

Iklan
Mohd Khalil bersama anak beliau, Datuk Mahmud Mohd Khalil menabur bunga mawar di pusara Isterinya Toh Puan Zurina Kassim selepas selamat disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim dekat Bukit Palah, hari ini. - Foto Bernama

MELAKA - Jenazah Toh Puan Zurina Kassim, isteri bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, selamat dikebumikan di Makam Pahlawan Melaka, Masjid Al-Azim di sini pada 10 malam ini.

Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan di Masjid Sayyidina Ali Bukit Katil di sini kira-kira pukul 6 petang sebelum dibawa ke Balai Istiadat Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada 7.30 malam untuk diberikan penghormatan terakhir.

Iklan
Iklan

Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Azim pada 9 malam oleh lebih 1,000 jemaah yang diimamkan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Allahyarham kemudian dikebumikan berhampiran pusara Yang Dipertua Negeri Melaka kelima, Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin dan Ketua Menteri Melaka kelapan, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Iklan

Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Ibrahim Durum.

Beliau dilahirkan di Duyong dekat sini pada 13 Julai 1944 dan mendirikan rumah tangga dengan Mohd Khalil pada 28 Feb 1965. Mereka dikurniakan tiga orang anak.

Iklan

Mohd Khalil merupakan Yang Dipertua Negeri Melaka keenam dari Jun 2004 hingga Jun 2020.

Ketika hayatnya Allahyarham amat prihatin dengan kebajikan rakyat sehingga tertubuhnya Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit pada 2015 yang menyediakan rawatan hemodialisis percuma kepada golongan kurang berkemampuan. - Bernama