Pemuda tidak mengaku tipu kontraktor RM220,000 jual beli kereta mewah

Iklan
Raja Mohamad (dua dari kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas satu pertuduhan menipu seorang kontraktor berhubung jual beli kereta mewah berjumlah RM220,000 bermula Mac lalu.

Iklan
Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan menipu seorang kontraktor berhubung jual beli kereta mewah berjumlah RM220,000 bermula Mac lalu.

Raja Mohamad Shahriman, 29, didakwa menipu Mohd Hafiszuddin Razali, 36, dengan memperdayakannya supaya menyerahkan wang tunai RM187,000 dan RM33,000 yang dipindahkan ke akaun CIMB milik Nurul Ain Azimi, 35, secara berperingkat.

Iklan

Ia melibatkan urusan jual beli empat kereta mewah lelongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meskipun tertuduh tahu bahawa kesemua kereta tersebut bukan milik pihak polis yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sentul Pasar di sini pada 4 Mac sehingga 15 Jun lalu.

Iklan

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, rakan lelaki itu, Nurul Ain mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menolong menyembunyikan RM33,000 milik mangsa sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya telah menolong menyembunyikan harta Mohd Hafiszuddin iaitu wang sebanyak RM33,000 yang dipindahkan ke akaun bank CIMB milik tertuduh secara berperingkat yang mana tertuduh mengetahui wang tersebut bukanlah miliknya di lokasi dan tarikh sama.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Raja Mohamad diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin manakala RM1,500 bagi Nurul Ain.

Mahkamah menetapkan 12 dan 20 September depan untuk sebutan semula kes.