Scammer tawar gaji mahal, hidup mewah bekerja di Myanmar, UAE

Iklan
Sasikala Devi (depan tengah) menunjukkan antara dokumen yang dirampas ketika sidang media di IPK Selangor, Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Menawarkan gaji yang lumayan serta kehidupan mewah antara taktik yang digunakan dua individu termasuk seorang warga Taiwan dalam memperdaya mangsa untuk bekerja sebagai operator 'scammer' dan judi dalam talian di Myanmar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kegiatan yang dijalankan dua individu berumur 35 dan 45 tahun itu bagaimanapun berjaya dibongkar apabila kedua-dua suspek berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Setia Impian di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kedua-dua suspek itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak awal Jun lalu.

"Siasatan dijalankan mendapati, suspek warga Taiwan berperanan mencari individu-individu di negara ini untuk bekerja sebagai operator dalam talian melibatkan 'scammer' dan judi dalam talian dengan menerima upah bayaran sebanyak AS$1,000 bagi setiap seorang.

Iklan

"Suspek warga tempatan pula berperanan sebagai pemandu bagi menghantar mangsa ke lapangan terbang mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.

Katanya, serbuan dijalankan berjaya merampas pelbagai peralatan serta dokumen dipercayai digunakan untuk penghantaran mangsa.

Iklan

"Antara dirampas ialah enam unit telefon bimbit, 14 pasport Malaysia atas nama individu yang berlainan, 14 keping borang pemeriksaan Covid-19 atas nama individu yang berlainan, 19 keping borang 'Visa Approval to Myanmar' atas nama individu yang berlainan, tujuh keping borang Visa Negara Dubai atas nama individu yang berlainan, lima pasport mempunyai borang pemeriksaan Covid-19 dan visa ke Myanmar.

"Selain itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipercayai disewa turut dirampas dalam serbuan dijalankan," katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan melibatkan jumlah mangsa yang terlibat dalam kegiatan ini.

"Berdasarkan kepada pasport yang ditemukan, mereka yang menjadi mangsa dipercayai masih belum bertolak ke negara yang dinyatakan.

"Polis juga masih belum menerima sebarang laporan daripada ahli keluarga mangsa yang terlibat setakat ini," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan mana-mana pihak atau individu yang cuba menawarkan gaji yang lumayan untuk bekerja di luar negara," katanya.