Rafidah Aziz letak jawatan sebagai Pengerusi AirAsia X

Iklan
Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh, AirAsia X (AAX), mengesahkan Tan Sri Rafidah Aziz meletak jawatan sebagai pengerusinya berkuat kuasa 1 Julai 2022.

Rafidah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah pada 3 Mac 2011 dan telah dilantik semula sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kanan selepas penyenaraian syarikat itu pada 10 Julai 2013.

Iklan
Iklan

Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Pengurusan Risiko Lembaga Pengarah dan Lembaga Semakan Keselamatan Syarikat.

"Saya bakal berusia 79 tahun pada tahun ini dan telah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas mengikut penggal yang telah ditetapkan.

Iklan

"Saya perlu mematuhi perubahan status daripada seorang ahli Lembaga Pengarah Bebas kepada Bukan Bebas termasuk memenuhi keperluan yang lain untuk jawatan tersebut.

"Oleh itu, saya memutuskan untuk meletakkan jawatan saya sebagai Pengerusi AAX berkuat kuasa mulai 1 Julai," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat itu.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd dan Pengasas AAX Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan Rafidah sebagai tulang belakangnya dari awal hingga pengembangan AirAsia dan yang penting, beliau juga merupakan seorang sahabat dan mentor.

"Beliau sentiasa memberikan semangat dan berkongsi pendapatnya secara jujur. Walaupun kini telah bersara, beliau akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar AirAsia dan kepimpinan beliau akan terus menjadi inspirasi buat kami semua.

"Kami pasti akan terus meminta pandangan dan bimbingan beliau untuk meneruskan perjalanan kami ke peringkat seterusnya," katanya.

Rafidah memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Ekonomi dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dari Universiti Malaya.

Antara anugerah dan pencapaian beliau termasuklah menjawat jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia yang paling lama berkhidmat, selama 21 tahun, dari 1987 hingga 2008. - Bernama