Penunggang motosikal maut rempuh belakang lori

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang merempuh belakang lori membawa muatan tilam dalam kemalangan di Jalan Sungai Lembing, Kuantan pada petang Sabtu.

KUANTAN - Seorang pembantu gerai burger maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang lori yang berhenti menunggu lampu isyarat merah di Jalan Sungai Lembing di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Adam Danial Hamzan, 22, dari Lorong Kampung Padang 60 di sini parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kemalangan itu, pemandu lori, Chee Jit Hoong, 53, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika lori membawa muatan tilam itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Kemaman.

Iklan

"Ketika tiba di tempat kejadian, lori berkenaan berhenti menunggu lampu isyarat merah sebelum dirempuh motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang.

"Akibat kejadian, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat," katanya.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.