'Projek CLQ lebih kepada kemudaratan' - Reezal

Iklan
Reezal (tiga dari kanan) ketika mengadakan pertemuan Jawatankuasa Bertindak Membantah Cadangan Taman Perindustrian dan Asrama Pekerja Bertam.

KEPALA BATAS - Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengulangi pendirian untuk tidak membenarkan cadangan pembinaan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) selain pembangunan perindustrian di kawasan Bertam diteruskan.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mendengar sendiri rintihan serta kegusaran penduduk Kepala Batas mengenai cadangan dua projek berkenaan yang disifatkan lebih membawa kemudaratan berbanding kebaikan kepada warga setempat.

Iklan
Iklan

"Perkara ini telah saya tegaskan beberapa kali sebelum ini bahawa hanya projek perindustrian berteknologi tinggi sahaja akan dipertimbangkan untuk dibangunkan di Kepala Batas.

"Malah Draf Rancangan Tempatan (RT) Seberang Perai yang disediakan Majlis Bandaraya Seberang Perai telah menetapkan tapak berkenaan sebagai Kawasan Perindustrian (Zon Perindustrian Terancang) dan menggariskan hanya industri berteknologi tinggi dan bukan bersifat 'labour intensive' akan dibenarkan," tulisnya di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Iklan

Reezal berkata, beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan akhir diambil dan mengulangi jaminan bahawa apa sahaja jalan akhir yang akan diambil nanti, semestinya demi kepentingan keluarga besar Kepala Batas.

Pada Ahad Reezal dilaporkan mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Bertindak Membantah Cadangan Taman Perindustrian dan Asrama Pekerja Bertam.

Iklan

Pertemuan berlangsung kira-kira satu jam itu, Reezal turut mendengar pelbagai pandangan dan cadangan daripada ahli jawatankuasa yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

"Saya juga telah mengulangi pendirian dan memberi jaminan kepada 10 ahli jawatankuasa yang hadir diketuai Pengerusinya, Sr Dr Mohamad Sukeri Khalid dan semestinya kepada seluruh warga Kepala Batas terutamanya di kawasan Bertam bahawa saya tidak akan sesekali membenarkan pembinaan CLQ diteruskan," tegasnya.