Banglo jadi stor simpan rokok seludup

Iklan
Mohd Nor Yhazid (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas oleh PDRM pada Ahad.

BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan membongkar kegiatan penyeludupan 2,474 rokok seludup bernilai RM277,000 yang disorokkan di sebuah rumah banglo di Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, di sini, pada Ahad lalu.

Serbuan yang dilakukan pada jam 10 malam itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an yang juga pemilik banglo dua tingkat berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Cawangan D9 JSJ negeri menyerbu rumah berkenaan dan suspek berada di rumah ketika itu.

"Suspek mengaku sebagai tuan rumah dan pemeriksaan dilakukan di sebuah bilik di tingkat satu banglo tersebut menjumpai kotak-kotak mengandungi rokok-rokok dipercayai diseludup.

Iklan

"Keseluruhan rokok pelbagai jenama tersebut berjumlah 2,574 karton dianggarkan bernilai RM277,000 dengan cukai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek mengaku terlibat dengan kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai sejak Mac lalu dan pihaknya masih menyiasat sekirannya suspek terlibat dengan sindiket tertentu.

Iklan

"Suspek tinggal bersama isteri di rumah tersebut dan dipercayai menyeludup masuk rokok-rokok berkenaan menerusi jalan laut di perairan negara ini untuk diedar ke kedai-kedai runcit di pasaran tempatan,” katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sebarang maklumat berkaitan penyeludupan boleh berhubung dengan pihak JSJ D9 IPK Kelantan,” katanya.