Festival Bon Odori: Polis Selangor sedia kawal keselamatan

Iklan
Datuk Arjunaidi Mohamed

SHAH ALAM - Polis Selangor akan membuat kawalan keselamatan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin menjelang program Festival Bon Odori pada 16 Julai ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penganjuran festival itu yang didakwa mengandungi unsur agama lain setakat pada Khamis.

Iklan
Iklan

"Kami memang akan membuat kawalan apabila ada keramaian atau festival yang akan berlangsung.

"Penugasan polis turut melibatkan semua termasuk kawalan lalu lintas dan keselamatan orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengingatkan umat Islam untuk tidak menyertai Festival Bon Odori yang dipercayai mempunyai unsur-unsur ritual agama lain dan bertentangan dengan Islam.

Bagaimanapun, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak menyekat program Festival Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai ini.

Iklan

Tambah Arjunaidi, sekiranya ada laporan kejadian jenayah berkenaan festival tersebut, maka mereka akan menyiasat perkara berkenaan.

"Kami akan tengok dahulu laporan apa dan kalau ada kejadian berupa jenayah kita akan siasat, itu sahaja,” ujarnya.