Dua beradik maut, kereta dipandu bapa dirempuh treler

Iklan
Keadaan kereta yang mengalami remuk teruk selepas terbabit dalam nahas mengeorbankan dua beradik di Kampar di sini pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohamad Nazri)

KAMPAR - Dua beradik meninggal dunia selepas kereta dipandu bapa mereka dirempuh sebuah treler dari arah belakang di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pada awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia di hospital.

Iklan
Iklan

Kejadian turut mengakibatkan bapa mereka, Jaafar Ahmad, 49, cedera di kaki kanan, sementara dua beradik yang lain masing-masing berusia 14 dan enam tahun cedera ringan.

Seorang wanita berusia 24 tahun yang turut berada dalam kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari Kedah ke Seremban untuk menghantar empat beradik berkenaan ke rumah ibu mereka.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara dipandu Jaafar telah merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berada di hadapan menyebabkan kereta itu mati enjin.

Iklan

"Dalam masa sama, datang sebuah treler dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta terbabit.

"Kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di keseluruhan bahagian hadapan dan belakang," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, Nurqalesya yang duduk di bahagian belakang kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah manakala adiknya, Muhammad Saiful meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis kini sedang mengesan sebuah lagi lori yang terlibat dalam kejadian itu kerana ketika kejadian, kenderaan berat berkenaan meneruskan perjalanan, berkemungkinan tidak sedar akan kejadian," katanya.