'Manifesto Pulau Pinang capai 90 peratus tak benar'

Iklan
Afif (kanan) dan Yusni menunjukkan pencapaian manifesto 2018 Pulau Pinang ketika ditemui di perkarangan Dun pada Isnin.

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak jujur dan tidak memberi gambaran sebenar berhubung pencapaian manifesto Pulau Pinang 2018 kepada rakyat.

Dr Afif Bahardin (Bersatu- Seberang Jaya) berkata, kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 9 Mei lalu bahawa manifesto Pulau Pinang sudah mencapai 90 peratus adalah tidak benar.

Iklan
Iklan

Menurut bekas Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan itu lagi, pelaksanaan manifesto oleh kerajaan PH Pulau Pinang adalah kurang daripada 60 peratus dan bukannya 90 peratus seperti yang didakwa.

"Pada saya, kenyataan tersebut adalah mengelirukan rakyat, tidak jujur dan tidak memberi gambaran sebenar prestasi kerajaan negeri. Saya sendiri yang menggunakan manifesto ini (dahulu), apa wawasan yang kita letakkan untuk Pulau Pinang dan apa yang dihadapi rakyat negeri ini.

Iklan

"Walaupun masih dalam status pelaksanaan, tetapi saya melihat status itu masih tidak banyak beza dengan yang sebelum ini. Sebab itu apabila kenyataan Kon Yeow mengatakan manifesto telah mencapai 90 peratus, bagi saya itu mengelirukan orang awam," katanya ketika ditemui bersama Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan, 68 manifesto kerajaan negeri mencapai 90 peratus pelaksanaan dengan 54 janji telah ditepati, 12 dalam pelaksanaan manakala dua lagi tidak akan dilaksanakan ekoran terdapat pertindihan dengan program kerajaan pusat.

Iklan

Kon Yeow turut yakin bahawa baki 10 peratus lagi manifesto berkenaan akan dapat dicapai bersama barisan kepimpinan kerajaan Pulau Pinang seperti mana yang telah dibuktikan dalam cabaran menempuh tempoh pandemik Covid-19.

Kata Afif lagi, beberapa perkara di dalam manifesto tersebut bukan sahaja belum siap malah belum dilaksanakan lagi.

"Saya menggunakan Dewan untuk menunjukkan bahawa walaupun kerajaan negeri mengatakan mereka yang terbaik, tetapi mereka juga mempunyai banyak kelemahan dan tidak menunaikan janji kepada rakyat. Jangan soal apa yang kerajaan persekutuan perlu buat, tetapi apa yang dijanjikan oleh kerajaan negeri juga belum terlaksana.

"Sebahagian besar yang belum dilaksana adalah projek besar yang kerajaan belanja ratusan juta contohnya projek transit aliran ringan (LRT) dan Projek Terowong Dasar Laut. Ini bukan janji daripada tahun 2018, malah sebelum itu lagi.

"Sejak saya masuk pada 2013, projek ini telah dibincangkan, jangan kata lima tahun tetapi sekarang sudah 10 tahun, telah dijanjikan tetapi masih belum dilaksanakan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri perlu menyelesaikan kesemua janji terlebih dahulu sebelum mengumumkan bahawa 90 peratus daripada manifesto mereka telah dilaksanakan.