PM gesa Asia, rakan global bertindak tangani cabaran iklim

Iklan
Menjelang tahun 2050, sebahagian besar Asia bakal berdepan dengan peningkatan suhu, hujan serta gelombang haba yang melampau. Gambar hiasan 123RF.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kepada Asia dan rakan kerjasama global untuk bersama-sama bertindak menangani cabaran perubahan iklim.

Menurut beliau, ini kerana, Asia terutamanya Asia Tenggara merupakan kawasan paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Iklan
Iklan

"Pada tahun 2021, lebih 57 juta penduduknya menjadi mangsa bencana berkaitan perubahan iklim di rantau Asia Pasifik. Keadaan ini dijangka bertambah buruk seiringan dengan masa.

"Menjelang tahun 2050, sebahagian besar Asia bakal berdepan dengan peningkatan suhu, hujan serta gelombang haba yang melampau, sekali gus akan menyebabkan berlaku kemusnahan yang dahsyat kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada persidangan antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Jepun dengan tema ‘Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian’.

Berikut merupakan antara tiga perkara yang disenaraikan beliau bagi mengukuhkan kedudukan Asia selain memperkasakan integrasi ekonomi serantau dan mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan.

Iklan

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, prospek berlakunya perubahan persekitaran fizikal dan juga kesan daripada perpindahan manusia secara paksa bakal memberikan impak ketara kepada alam sekitar malah menimbulkan kerumitan yang besar kepada tahap keselamatan antara negara.

Oleh itu, menurut beliau, sudah tiba masanya para pembuat dasar menerima hakikat dan mengakui bahawa perubahan iklim akan mengubah semua usaha yang dilakukan ke arah memelihara keamanan, kemakmuran dan keselamatan serantau.

Jelasnya, Malaysia telah mengambil langkah aktif bagi menangani isu tersebut dengan mengukuhkan tadbir urus perubahan iklim.

"Pendekatan yang diambil melibatkan ‘whole of nation’ yang menyaksikan wujudnya kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta, kumpulan persatuan sivil, masyarakat setempat terutama mereka yang paling berisiko,” ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, bagi tempoh jangka panjang, Malaysia komited memenuhi visi negara untuk mencapai tahap karbon neutral menjelang tahun 2050 dan bertindak menggubal undang-undang berkaitan perubahan iklim.

"Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang mempunyai visi yang sama. Untuk tujuan ini, idea ‘Asia Zero Emission Community’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida adalah titik permulaan yang baik,” katanya.

Menurut beliau, krisis perubahan iklim merupakan isu sejagat dan tiada negara yang mampu mengendalikannya secara bersendirian manakala bagi negara-negara membangun, ia sangat membimbangkan.

"Ini kerana kos dan juga kapasiti yang diperlukan untuk mendepaninya akan menghakis sumber untuk mencipta peluang ekonomi kepada rakyat,” ujarnya.