Implikasi OPR naik kepada poket rakyat

Iklan
Foto hiasan 123RF

BANK-bank tempatan seperti Maybank dan RHB Bank serta-merta mengumumkan kenaikan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman/Pembiayaan Asas (BLR/BFR) sebanyak 25 mata sebaik sahaja Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata kepada 2.0%, Rabu lalu.

Ini bermakna kadar faedah pinjaman bank akan naik dan sangat memberi kesan kepada golongan B40 dan M40. Apabila OPR naik, bayaran ansuran bulanan sedia ada kepada pihak bank akan naik, syarat layak membuat pinjaman baharu juga diperketat, manakala bayaran semula untuk pembelian rumah, kereta atau pinjaman peribadi yang baharu akan naik.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, OPR naik buat pertama kali selepas pandemik ini memberi isyarat kepada pelabur asing yang keadaan ekonomi negara semakin pulih.

Kenaikan OPR juga perlu untuk menambah nilai mata wang ringgit kerana lebih banyak mata wang asing dijangka masuk ke bank-bank tempatan kerana pelabur akan mendapat pulangan lebih tinggi sekali gus mengukuh ringgit.

Iklan

OPR yang rendah menyebabkan inflasi menjadi tinggi kerana semua orang mampu berbelanja. Walaupun harga barang naik tetapi disebabkan OPR rendah, rakyat masih boleh membeli. Inilah yang dinamakan inflasi. Salah satu cara untuk membetulkan inflasi adalah dengan menaikkan OPR.

Naikkan OPR bukan bermakna tidak kasihankan rakyat. Sejak pandemik, BNM telah menurunkan OPR ke tahap lebih rendah sebanyak lima kali, dari 3.25 peratus ke 1.75 peratus. Ini bermakna lebih ramai orang boleh buat pinjaman bank kerana bunganya rendah.

Iklan

OPR diturunkan semasa pandemik supaya wang lebihan yang sepatutnya dibayar kepada bank itu dapat digunakan rakyat untuk menggerakkan ekonomi di peringkat bawah.

Keputusan BNM itu adalah tidak popular, tetapi ia perlu dilakukan supaya negara tidak terjerumus ke dalam kancah hiperinflasi. Malah, pakar ekonomi meramalkan nilai OPR ini akan dinaikkan peringkat demi peringkat lagi pada tahun ini.

Justeru, orang ramai tidak harus mengambil mudah isu OPR ini kerana ia membabitkan poket rakyat secara langsung atau tidak. Periksa semula perbelanjaan bulanan masing-masing dan paling penting, jangan boros.