Pemimpin zahir penghargaan sempena sambutan Hari Ibu

Iklan
Antara pemimpin yang menzahirkan penghargaan kepada ibu masing-masing menerusi catatan dimuat naik di Facebook sempena sambutan Hari Ibu pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin menzahirkan penghargaan kepada ibu masing-masing sempena sambutan Hari Ibu pada Ahad.

Menerusi catatan di Facebook, mereka mengambil peluang mengimbau jasa dan pengorbanan ibu selama ini yang disifatkan sebagai tidak terbalas meskipun dengan wang ringgit.

Iklan
Iklan

Memuat naik gambar ibu, pemimpin terbabit meluahkan rasa cinta dan kasih yang mendalam terhadap 'ratu hati’ masing-masing di samping mendoakan kesejahteraan mereka.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menzahirkan ucapan terima kasih kepada ibu yang telah membesar dan mendidik beliau.

Iklan

"Ibu kita, walau meningkat usia, jasa mendidik kita sepanjang hayat tak akan terbalas.

Pengorbanan ibu membesarkan kita dari kecil sukar untuk dibayar dengan wang ringgit, apa yang diharapkan hanyalah kasih sayang anak-anak sehingga ke hujung nyawa.

Iklan

"Terima kasih mama kerana membesarkan kami.

Kami doakan mama murah rezeki dan panjang umur,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ibu di negara ini atas pengorbanan yang telah dicurahkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula berkata, tiada pengorbanan lebih besar daripada pengorbanan seorang ibu yang melahir dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.

"Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia.

Betapa besarnya peranan dan tanggungjawab seorang ibu yang telah mendidik kita semua sehingga kita berjaya menjadi insan yang berguna demi keluarga, masyarakat dan negara.

"Benarlah kasih ibu membawa ke syurga,” katanya.

Bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, kasih sayang seorang ibu tiada tolok bandingnya.

"Gelaran ibu adalah dambaan setiap wanita.

Kasih ibu tiada tolok bandingnya, kedudukan ibu sangat mulia, ibu tempat bermanja pengubat segala duka.

"Ibu adalah wanita terpenting dalam hidup setiap insan.

Tanpa ibu, tiadalah kita di muka bumi ini,” katanya.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Ibu, masyarakat perlu mengambil peluang bertemu dengan ibu bapa masing-masing dan ini merupakan perkara yang amat dinanti-nantikan oleh mereka.

"Tiada batas waktu untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu namun marilah kita menyantuni mereka melalui sambutan Hari Ibu, kita raikan ibu tercinta sebagai tanda kasih sayang pada semua ibu di Malaysia.

"Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu terutama ibu saya Puan Taiyibah Haji Rusli,” katanya. - Bernama