Pemandu bawah umur, pemilik MPV langgar mati dikena tindakan berat

Iklan
Seorang pemotong rumput meninggal dunia manakala rakannya patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV dipandu seorang pelajar 16 tahun di Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong pada Sabtu. - Foto: Astro AWANI (Gambar kecil: Ka Siong)

PUTRAJAYA - Tindakan berat akan dikenakan kepada remaja dan pemilik kenderaan yang menyebabkan kematian dan kecederaan parah pemotong rumput dalam satu kemalangan di Sungai Petani, Kedah pada Sabtu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia berdasarkan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang telah dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Tindakan bukan sahaja kepada pemandu tetapi pemilik kenderaan turut akan dikenakan tindakan yang berat.

"Dalam kes ini, sesiapa tersabit kesalahan dengan kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak boleh diambil tindakan keras,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang pemotong rumput maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu pelajar berusia 16 tahun ketika berehat di bahu jalan, Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong.

Iklan

Dalam kemalangan jam 11 pagi itu, seorang daripada mangsa meninggal dunia di lokasi manakala rakannya patah bahu tangan kanan dan masih menerima rawatan di hospital.

Dalam masa sama, beliau berkata, usaha untuk memberikan kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya perlu dilipatgandakan.

"Kempen enam hari lalu mendapati, 64 hingga 67 peratus purata setiap hari kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal,” ujarnya.

Tambahnya, angka tersebut akan bertambah sekiranya kerajaan membenarkan skuter elektrik digunakan di jalan raya.

"Kenapa kita tidak benarkan skuter elektrik di jalan raya kerana ia ganggu kenderaan lain. Kita kena lihat pengguna jalan secara keseluruhan.

"Pihak berkuasa tempatan kena wujudkan laluan pejalan kaki. Dengan tempat khas saya tiada masalah,” katanya.