Isteri anggota polis maut, enam cedera

Iklan
Anggota bomba membantu mengangkat mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Foto Ihsan JBPM.

KUANTAN- Isteri seorang anggota polis maut manakala enam lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Kilometer (KM) 196.3 menghala ke Kuala Lumpur pada Khamis.

Kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa iaitu penumpang belakang, Rohaimah Ngah, 60, yang mengalami kecederaan di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian dalam kenderaan yang dipandu anaknya, Azreni Julia Mohd Nasaruddin, 34 yang mengalami kecederaan di kepala serta muka.

Menurutnya, suami mangsa, Mohd Nasaruddin Mohd Hassan@Idris, 60 yang juga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang cedera di bahagian kepala.

Iklan

Keadaan kereta MPV, Toyota Avanza yang remuk akibat kemalangan tersebut. Foto Ihsan JBPM.

"Seorang anak Mohd Nasaruddin iaitu, Azreen Elina Nazira, 22, patah tangan kiri manakala seorang lagi anak mereka, Mohd Razif Izany, 29 tidak mengalami cedera.

Iklan

"Tiga cucu mereka, Muhammad Hazriel Eqwan Mohd Ridzuani,10, dan adiknya, Muhammad Haeril Ashraff serta Muhammad Haziq Naufal Aimeul, 5 cedera ringan akibat kemalangan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu anak mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Kedah.

"Setibanya di lokasi kejadian, tayar kenderaan dinaiki mereka bocor dan menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan, terbabas sebelum melanggar bukit di sebelah kiri jalan.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan kemudian terbabas dengan sendiri," jelasnya.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut dan kenderaan akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperoleh.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.