PUTATAN - Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberi amaran keras kepada pemandu di negeri ini supaya tidak mengambil dadah terutama ketika memandu pulang ke kampung.
Beliau berkata, tindakan pemandu yang mengambil dadah akan mengundang banyak masalah termasuk boleh menyebabkan kemalangan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan secara rawak pemandu pada Op Selamat 17, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik mendapati ada yang mengambil dadah.
"Jangan ambil dadah dengan alasan memandu jauh. Boleh berhenti sekejap untuk berehat," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Meruntum, Lok Kawi di sini pada Khamis.
Sementara itu, mengulas mengenai Op Selamat, beliau menjangkakan aliran trafik di seluruh daerah di Sabah meningkat 200 peratus.
"Kita menjangkakan keadaan agak luar biasa tahun ini yang mana kita lihat statistik Januari hingga Mac berlaku peningkatan kemalangan di Sabah termasuk membabitkan kemalangan maut," katanya.