Kontraktor didakwa guna gelaran Datuk, lambang Diraja Pahang

Iklan
Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk dan mempamer lambang Diraja Pahang tanpa kebenaran pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Shaiful Nizam Abu, 39, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Shaiful Nizam didakwa menggunakan gelaran datuk ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang tanpa menerima sebarang anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk dari Pahang bagi maksud persendirian tanpa kebenaran Sultan Pahang.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mempamer dengan melekatkan lambang darjah Indera Mahkota Pahang pada kenderaan miliknya iaitu kereta jenis Isuzu bernombor pendaftaran JQM5965 tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang.

Iklan

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di premis Mind Faculty Wellness Care Center, di Jalan Anak Bukit 1, Palm Resort Senai, Kulai, sekitar jam 11.30 pagi, 27 Januari tahun lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohammad Shaiful Nizam didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang atau Anugerah (mencegah penggunaan tidak wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Iklan

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hakim kemudiannya menetapkan 29 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan dan Nurul Syafiqah Sha'ari manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Sharifuddin Liwan.