Rakan sifatkan Hakim Mohd Nazlan berintegriti tinggi

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 21 April lalu.

SHAH ALAM - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali disifatkan sebagai individu berintegriti tinggi yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Perkongsian itu dibuat oleh salah seorang rakan Mohd Nazlan susulan dakwaan beliau kini sedang disiasat kerana menerima wang lebih RM1 juta daripada ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Iklan

Zaim Al-Amin menerusi hantaran di Facebooknya mengatakan bahawa Mohd Nazlan adalah sosok individu yang amat disegani dan disanjungi oleh rakan-rakan yang mengenalinya.

Menurutnya, Nazlan ialah rakannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Kelas 84, berasal dari Ipoh, Perak.

Iklan

"Mereka yang mengenalinya dari sekolah, universiti (Oxford), Suruhanjaya Sekuriti, Zaid Ibrahim dan Co., Jabatan Undang-undang Maybank akan bersetuju bahawa dia seorang yang sangat pintar yang mana integritinya tidak boleh dipertikaikan.

"Kami sebagai rakan seperjuangan sangat menghormati dan menghargai beliau. Nak bergurau pun segan dan cakap kena berlapik.

"Setidaknya ini saja yang mampu saya lakukan untuknya apabila beliau mendapat fitnah dari depan, belakang, kiri dan kanan.

"Tolong kongsikan (hantaran) ini secara meluas untuk menyebarkan kebenaran. Sebagai seorang kawan, saya terhutang budi kepadanya,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Nazlan difahamkan membuat laporan polis berhubung satu artikel diterbitkan sebuah portal berita yang mendakwa beliau disiasat mengenai kemasukan duit ke dalam akaun banknya.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya, artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Ia juga berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan serta mengganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman.

Iklan
Iklan