Jeti Kampung Mutap: Penduduk dakwa tidak guna kayu belian sepenuhnya

Iklan
Projek pembinaan jeti kayu di Kampung Mutap, Miri, Sarawak yang bernilai RM50,000.

SHAH ALAM - Penduduk Kampung Mutap, Miri, Sarawak mendakwa pembinaan jeti kayu melibatkan kos sehingga RM50,000 yang mengundang kritikan orang ramai tidak menggunakan kayu belian sepenuhnya seperti dinyatakan.

Menurut laporan Utusan Borneo, penduduk kampung, Mohamad Nor Tambi, 45, yang tinggal berdekatan jeti itu berkata, hanya bahagian binaan tangga dan tiang sahaja dipercayai menggunakan kayu belian manakala selebihnya menggunakan campuran kayu keras yang lain.

Iklan
Iklan

Dia tidak mempercayai jeti di hadapan rumahnya itu menelan kos sebanyak itu malahan katanya, ia tidak menjadi isu sekiranya kos hanya RM30,000 berdasarkan jeti yang telah siap tersebut.

Mohamad Nor berkata, dia juga terkejut kerana menurut hantaran Komunikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, jeti tersebut dibina mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

Iklan

"Jangankan netizen, saya sendiri pun mempersoalkan kos jeti ini. Pada mulanya saya tidak tahu mengapa jeti ini menjadi isu panas dan tular. Sehinggalah saya membaca di media sosial kos pembinaan berjumlah RM50,000.

"Saya berpendapat ia tidak menjadi isu sekiranya kos hanya RM30,000 berdasarkan (struktur) jeti yang sudah siap.

Iklan

"Turut menjadi persoalan kepada kami projek ini dikatakan mengambil masa tiga bulan namun dua bulan siap awal daripada jadual sedangkan kontraktor hanya menyiapkan projek itu dalam tempoh tiga hari,” katanya pada Ahad.

Mohamad Nor dan penduduk di situ melahirkan rasa tidak puas hati dan perasaan ragu-ragu dengan keselamatan jeti tersebut.

"Sepatutnya jeti ini mempunyai susur tangan, pagar dan atap untuk keselamatan dan keselesaan penduduk.

Tinjauan kami mendapati jeti ini tidak mempunyai palang yang mencukupi. Mujurlah ada dua tangga, jika tidak ia mungkin tidak stabil,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk berharap kerajaan dapat menambah ciri-ciri keselamatan pada jeti tersebut untuk keselamatan penduduk kampung termasuk memasang atap, susur tangan dan pagar.

Pada 6 April lalu, JKR Bahagian Miri telah menyiarkan kenyataan media mengenai penyiapan jeti baharu Kampung Mutap di Bekenu yang bernilai RM50,000 menerusi laman Facebook Komunikasi Korporat JKR Sarawak.

Bagaimanapun kenyataan di laman Facebook berkenaan menjadi tular apabila netizen mula mempersoalkan dan melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kos projek tersebut.

JKR Bahagian Miri menjelaskan kos pembinaan semula jeti baharu Kampung Mutap di Bekenu, di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tinggi kerana ia melibatkan kayu keras jenis belian yang bernilai tinggi, termasuk platform sementara untuk pembinaan jeti tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan, anggaran kos itu adalah berdasarkan Jadual Kadar JKR Sarawak tahun 2020 dengan kadar RM9,000 satu meter kubik bagi kayu belian, iaitu nilai yang lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.